Khamis, Oktober 18, 2012

Transfer Tanggungjawab Tak Semudah Transfer Akaun!

Umumnya apabila anak-anak perempuan memassuki gerbang perkahwinan, ibu bapa adalah orang yang paling seronok. Boleh menarik nafas lega yang panjang. Batu besar yang selama ini tergalas di atas bahu bolehlah dipindahkan ke atas bahu orang lain pula (menantulah tu).

Tak terbayang perasaan lega tu. Pertama, lega sebab ada juga jodohnya anak kita itu pada zaman orang perempuan bersaing hendak mendapatkan jodoh yang ideal. Kedua, lega sebab semua 'penyakit' yang bersangkut dengan anak itu berpindah tanggungjawab ke atas orang lain pula.

"Mak, esok ada rombongan meminang....."
Bayangkan, kalau anak perempuan Mak Cik Kalsom ada empat orang dan satu dah 'lepas', jadi fokus sekarang pada baki tiga anak perempuan lagilah. Gitulah gamaknya kira-kira yang bermain di kepala kaum ibu bapa kita zaman sekarang ni. Selagi belum disunting sang pria, selagi itulah dub, dab, dub, dab, di hati tidak berhenti.

Dengar saja ada orang hendak menyunting bunga di taman, berharaplah dia sungguh-sungguh agar suntingan itu menjadi kenyataan. Sehingga ada kes, orang hendak merisik anak saudara dia, tapi dia 'advertise' anaknya pula.

'Alah, apa kurang anak mak cik. Masak pandai, mengemas rumah pandai, err.....pernah menang johan pakaian beragam waktu tadika. Lagi apa......"

Begitulah bersungguh-sungguh Mak Cik Kalsom buat 'sales' agar bunga sekuntumnya itu terjual dengan segera. Tension betul team perisik ketika itu. Nak buat macam mana, silap risikan!

"Berbulan madu? Jangan lupa bawa mak sekali...."
Ada juga kes (banyak kes) di mana orang tua liat mahu melepaskan anaknya walaupun budak tu dah beranak pinak. Langsung tak nak beri kebebasan pada anak menantu buat keputusan. Semuanya nak tumpang setangan. Kalau budak tu minta campur tangan atau minta nasihat, lainlah juga. Ini tidak, memanjang saja hentak tumpang setangan. Malah budak-budak tu nak pergi honeymoon pun dia nak ikut! Tak malu betul. Kononnya hendak mengajar adab-adab dan etika berbulan madu agar cuti itu berjalan lancar dan sukses.

Yalah, orang tua memanglah lebih berpengalaman, tapi jangan lupa, dunia orang muda sekarang terlalu luas dan tidak bertepi. Kalau setakat nak beri tunjuk ajar teknik itu dan teknik ini, baik tak payah.

Budak-budak sekarang tidak seperti kita dulu-dulu. Mereka lebih ke hadapan, berani mencuba sesuatu yang baru dan lebih adventurous. Sekali terhantuk, mereka cuba kali kedua. Dua tiga kali terhantuk dan tal jumpa juga penyelesaiannya, barulah mereka mencari orang tua untuk bantu selesaikan masalah tu. Bab terhantuk saja, tapi bab tersadung, tertonggeng dan lain-lain tu mereka tak minta tunjuk ajar kita selagi mereka boleh bangun dan berjalan sendiri.

Jadi kepada para mentua berpada-padalah kalau hendak campur tangan pun. Jangan over sangat dan jangan lepas langsung. Macam pengurus bola sepak, tak boleh masuk padang, tapi jangan tinggalkan terus padang. Duduk di tepi padang pantau anak-anak bermain. Sesekali menjerit bagi arahan, sesekali mencongak strategi dan sesekali duduk diam-diam.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih membaca blog ini.

Menghargai anda sehingga bila-bila...

Jangan lupa jadi kawan saya di blog ini dan facebook.