Kadang-kadang hairan juga tengok anak-anak
terjerit-jerit dan terlompat-lompat ketakutan apabila disergah oleh hantu,
pocong dan pontianak
di kaca TV. Baik filem seram versi tempatan atau yang diimport, impaknya tetap
sama- takut nak tengok tapi tetap juga nak tengok.
Maka ada anak-anak yang menyorok
di belakang emaknya, menyelinap di balik sofa, mengintai dari daun pintu atau
duduk jauh-jauh di belakang tatkala menonton cerita seram. Sekurang-kurangnya
kalau hantu tu menyergah, orang yang di depan terkejut dulu. Yang menyorok di
belakang terselamat.
Jadi, end of the story,
hubungan kekeluargaan anak-beranak menjadi lebih akrab dan erat selepas tonton
filem hantu. Apa tidaknya, nak masuk bilik air kena berteman, nak ke dapur pun
berteman. Hatta nak masuk tidur pun kena berteman. Itu pun kalau teman tu pun
sama-sama mengantuk dan nak masuk tidur.
Melopong
depan TV
“Sudah tahu takut siapa suruh tengok
cerita hantu!” saya menyampaikan sedikit kata-kata hikmat penuh sindiran untuk
mereka.
Anak-anak diam tanda akur. Namun esok lusa, muka tu lagi yang
menghadap cerita seram di TV. Huh, menyampah betul!
“Best ceritanya, ayah” jawab mereka tatkala melihat saya bercekak
pinggang depan mereka: “Filem tahyul ni kamu sudah ulang tengok tiga atau empat
kali di TV. Tak Bosan?” Hairan sungguh saya dengan perangai anak-anak ni.
Akhirnya saya kena akur dan terima hakikat yang saya tidak boleh
memaksa anak-anak dara dan bakal anak teruna di rumah tu menjadi ‘jantan
gentleman’ macam saya dan menolak total filem seram tahyul bodoh lagi dungu itu . Dan
mereka juga tidak mudah untuk mengajak saya melopong dan membulatkan mata depan
TV dengan filem-filem seperti itu.
Satu hal yang sering buat saya malas menghadap cerita-cerita seram
ni, kerana ia sering dipaparkan secara murahan dan menyimpang daripada
nilai-nilai moral dan kebenaran. Asyik-asyik kisah hantu betina merayau-rayau
mahu membalas dendam atas jantan durjana yang merosakkan dan membunuhnya.
Asyik-asyik hantu yang diupah oleh orang tertentu untuk merosakkan rumah tangga
orang lain kerana dengki dan dendam kesumat. Asyik-asyik kisah hantu yang
memberi pelbagai signal kepada hero
atau heroin supaya membongkar misteri pembunuhan dan entah apa-apa lagilah.
![]() |
Ini baru betul-betul hantu |
Mana
real ghost story?
Tidak pernah seumur hidup saya menonton
filem hantu dalam bentuk kisah benar. Mengapa tidak pernah ada filem hantu yang
menceritakan kerja-kerja hantu yang sebenar? Contohnya menghasut manusia supaya
sentiasa berbuat jahat, menakut-nakutkan dan membimbangkan manusia dengan soal
rezeki, menyesatkan manusia daripada jalan kebenaran, menimbulkan permusuhan
sesama manusia, melalaikan dan menghalang manusia daripada mengingati Allah,
menipu dan mengelirukan manusia dalam urusan agama dam macam-macam lagi.
Itu adalah sebahagian daripada tugas-tugas syaitan dan hantu, belum
lagi kisah pintu-pintu masuk syaitan ke dalam diri kita, bermacam-macam gaya
tipuan syaitan dan 1001 perihal alam syaitan yang perlu kita tahu. Kalau
setakat filem hantu cekik orang lalu mati dan si mati menjadi hantu, kita
sebagai penonton tidak dapat mengambil apa-apa faedah pun. Syaitan pun bersorak
bangga kerana kejahatan sebenar mereka masih gagal kita bongkar dan dedah!.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Terima kasih membaca blog ini.
Menghargai anda sehingga bila-bila...
Jangan lupa jadi kawan saya di blog ini dan facebook.