Tembak!
Tembak!!
Kadang-kadang saya rasa membesarkan anak-anak yang ramai dalam zaman
serba canggih ini seperti berada di medan
peperangan. Tidak cukup masa untuk menarik nafas dan berehat panjang. Tidak
cukup masa tidur nyenyak.
Makan pun kadang-kadang setakat cuit-cuit dan ala
kadar saja. Apatah lagi anak-anak ini semuanya masih di bangku sekolah. Mereka
harus diasak, dibentuk, ditunjuk ajar, dibimbing, difahamkan supaya mereka tahu
dan faham tugas dan matlamt hidup. Supaya mereka lebih bertanggunjawab dengan
beban yang digalas.
Besooornya
hantu!!
Wajar diingat, di sekeliling anak-anak
kita itu ada berbagai-bagai jenis hantu dan jin ifrit yang berusaha membelit, melilit,
mengigit dan mengeroyok mereka dari pagi sampailah ke malam, dan sampailah ke
pagi semula.
Walaupun hantu ini dapat dilihat dengan jelas, hendak menentangnya
sangat sukar, lebih sukar daripada menentang hantu bertanduk yang tidak dapat
dilihat. Sebabnya, hantu-hantu ini sangat kuat, sangat besar, sangat ramai,
tersusun, jaringannya satu dunia malah hingga di dalam poket seluar anak kita
pun mereka mampu duduk.
Itulah dia budaya hiburan melampau tidak henti-henti,
drama dan tenovela bodoh yang tidak mencanai minda, budaya asing yang tidak
senonoh, budaya materialistik dan berbangga dengan produk berjenama. Semuanya
sedang cuba
menguasai jiwa,mental dan rupa fizikal anak-anak kita.
Prisoner
of ‘WAR’
Memang sukar untuk menentangnya. Namun tetap kena lawan. Musuh ini
pula bukannya tahu duduk diam atau ambil cuti. Putus asa dan tidur tidak
sekali-kali. Aktif 24 jam.
Lebih malang
lagi, musuh-musuh ini menggunakan anak-anak dan juga mak bapak orang Melayu Islam kita sendiri untuk
mempromosikan dan menjaja program maksiat dan kejahatan mereka. Ucapan salam
dan syukur bersimpang-siur dengan upacara maksiat.
Anak-anak kecil kita
terpegun, terpesona dan terkeliru. Jasad lahirnya didalam rumah bersama
keluarga tapi minda dan jiwanya sedang dalam tawanan musuh.Jenuhlah kita nak
mencuci minda yang tertawan dan tercemar
itu. Lambat bertindak atau dibiarkan, pasti ia menjadi virus yang merebak bagai
barah.
Kuliah!
Kuliah!
Kadang-kadang saya menggaru kepala
mencari dan mempelbagaikan strategi serta senjata ampuh supaya tidak tewas
dengan kehebatan senjata musuh. Buku-buku yang saya bacakan kepada anak-anak
seusai solat maghrib berjemaah di rumah pun saya pelbagaikan.
Hari ini baca
fadilat solat. Esok baca kisah perjuangan Rasulullah dan para sahabatnya. Lusa
ulang kaji rukun dan syarat sah wuduk dan solat. Selepas itu minta anak bacakan
kisah Juraij dan Alqamah. Sesekali minta mereka bacakan buku motivasi pelajar.
Macam-macam
yang saya cuba
bacakan. Anak-anak perempuan yang ‘bercuti’ pun diwajibkan hadir kuliah.
Biasanya selepas membaca, saya kena huraikan mengikut akal mereka.
Isteri
kena kuliah juga
Tidak lupa juga, isteri saya yang
menjadi suri rumah sepenuh masa pun kena juga diberi kuliah dan tarbiah khusus.
Barulah sasaran dan matlamt kami dalam membentuk anak-anak ini searah. Tidaklah
saya ke utara, dia ke barat daya.
Saya nak anak jadi macam ini dia nak anak
jadi macam itu. Jawatan sepenuh masa di rumah harus digunakan total untuk
mencorak dan mencanai hidup anak-anak ke arah yang kami kehendaki.
Sekurang-kurangnya sewaktu saya di pejabat, dia dapat diharap untuk meneruskan
perjuangan yang tidak pernah berhenti ini. Tugasnya sebagai ibu yang mempunyai
ramai anak pada zaman serba moden ini memang sangat mencabar.
Sesekali anak-anak yang enak ‘dirasuk’ hantu ini ‘melawan’ juga
apabila pelbagai peraturan dan undang-undang yang saya buat tidak menepati
‘selera’ mereka. Namun saya memahamkan mereka, tugas saya ini bukan saja-saja
seronok tapi AMANAH yang akan ditanya di akhirat nanti.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Terima kasih membaca blog ini.
Menghargai anda sehingga bila-bila...
Jangan lupa jadi kawan saya di blog ini dan facebook.