Rabu, September 12, 2012

Ke Mana Perginya Isteri Solehah


“Nah, ini wang gaji saya”
Semua lelaki ingin mendapatkan isteri yang solehah bila berkahwin nanti. Walaupun dia sendiri tak berapa nak soleh, namun dia tetap mahukan isteri yang solehah mendamping hidupnya. 
Bagi yang sudah berkahwin, walaupun isterinya kurang solehah dia tetap mahu isterinya berubah jadi isteri solehah. Isteri yang pandai menjaga suami. Isteri yang mendahulukan suami dalam setiap urusan.
 Isteri yang tunduk dan patuh pada arahan suami dan isteri yang berhias untuk suami. Malah kalau dapat yang terlebih solehah sehingga rela menghadiahkan seluruh wang gaji bulanannya buat suami atau menghadiahkan isteri lain buat suami, adalah lebih diingini.
Di pihak perempuan pula, rasa-rasanya daripada anak dara sampailah ke ibu tunggal anak lima, semuanya memasang niat dan azam yang sama apabila hendak berumah tangga. Nak taati suami setulus hati, sepenuh jiwa. Nak senyum selalu pada suami. Nak harungi susah senang kehidupan bersama suami. 
Pendek kata, nak abdikan seluruh hidupnya hanya pada suami. (Belum dapat suami biasanya macam tu lah …)
Penyejuk mata memandang adalah isteri solehah
Alahai, bertuahnya badan… .
Bertuahlah suami yang memiliki isteri seperti ini. Terasa diri bagaikan raja walaupun duit selalu tak ada. Hidup terasa indah sentiasa kerana isteri tak pandai nak bermasam muka dan bermuram durja. Hidup penuh ceria, kerana menatap wajah isteri lenyap segala masalah dan derita. 
Begitulah adatnya apabila isteri solehah berada di sisi. Suami ditatang dan dijunjung tinggi. Bangun dikejutkan. Pakaian kerja digosok. Makanan siap terhidang. Malah kukunya pun dikeratkan, stoking dan kasut disarungkan. Alangkah bahagianya … .
 Bateri sudah weak daa… .
Akan tetapi, sampai bila isteri solehah tu mampu memberi servis tiptop macam tu? Waktu mula-mula kahwin mungkin boleh. Bagaimana kalau isteri sudah mula berbadan dua? Dapat pula isteri jenis datang angin pus-pus satu badan. Sikit-sikit uwek … sikit-sikit uwek ... Tengok muka suami, uwek. Terhidu baju busuk suami, uwek. Dengar suara suami uuwerkghkk. Dengar bunyi kereta suami … .
Itu baru permulaan berumah tangga. Belum lagi menjadi ibu dan nenek.
Rasa-rasa sukar bagi isteri untuk memberi yang terbaik dan konsisten kepada suami apabila usia perkahwinan semakin memanjat dan anak-anak semakin membesar. Yalah, usia semakin bertambah, tenaga semakin terhakis, beban tanggungjawab semakin berat. Lebih-lebih lagi bagi isteri yang berkarier. Nak berkejar ke pejabat lagi. Nak tengok anak-anak lagi. Urusan rumah lagi. Layan suami lagi. Aduuiihhaaiiii!!
Suami tetap no: 1
Namun bagi isteri yang benar-benar solehah, dia tahu pakaian solehah bukan sesuatu yang boleh dipakai, buang dan pakai semula. Ia adalah pakaian yang dipakai sentiasa. Walau usia perkahwinan sudah menghampiri senja, suami tetap diutama. 
Dia tidak akan membiarkan suami mencedok nasi dan kuah kari sendirian. Dia tidak akan membiarkan suami terkial-kial seterika baju kameja untuk ke pejabat. Dia tahu walaupun umur sudah meningkat, suaminya sentiasa ternanti-nanti sambutan bidadari yang ceria dan penuh kecintaan apabila pulang kerja. Dia tetap menyolek wajahnya dengan solekan lembut, khusus untuk suaminya. Oh, alangkah!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih membaca blog ini.

Menghargai anda sehingga bila-bila...

Jangan lupa jadi kawan saya di blog ini dan facebook.