Khamis, September 20, 2012

Perihal Mentaliti Islam

Kuliah maghrib    
                                                                                                                            
Biasanya, waktu Maghrib saya tidak ke surau. Saya berjemaah bersama isteri dan anak-anak. Kehadiran wajib kecuali yang ada surat cuti bulanan. Selepas solat, saya akan membaca kitab atau buku agama yang sesuai buat semua.Semua wajib dengar. Sesekali saya akan menyampaikan  ‘kuliah maghrib’ kepada anak-anak saya tanpa membaca buku..
“Apa yang dikata negara Islam?” saya memulakan soalan sebaik mereka berkumpul.
Soalan itu sedikit mengejutkan lagi mengelirukan bagi mereka. Belum pernah saya memulakan kuliah dengan soalan, apatah lagi soalan pengetahuan am seperti itu.Yang kecil melopong, yang besar panjang pun bingung. Memang aku tahu mereka tak boleh jawab punya.
Ketika mereka masih terpinga-pinga mencari jawapan, saya bertanya lagi, “Apa itu mentaliti negara Islam dan masyarakat Islam?”
Sekali lagi mereka terpinga-pinga.
Pensel kontot pun ada                                                                                                     
Dipendekkan cerita, selepas menjelaskan definisi negara Islam dan masyarakat Islam, saya mengaitkannya dengan perkembangan dalam negeri (dalam rumah tangga sayalah tu). 
Memang mencabar nak membentuk dan mengekalkan mentaliti masyarakat Islam dalam minda anak-anak ni. Baru sekejap tadi ibunya mengemas ruang tamu, sekarang sudah bersepah semula. Baru saja malam tadi saya mencuci bilik air, sekarang sudah berkecah kembali. 
Alahai punya la kontot
Baru saja ibunya membersihkan dapur- menyusun cawan, pinggan dan periuk, habis disusun semula perkakas dapur tu. Cawan tepi TV, mug bawah katil, pinggan bertimbun di sink. Bilik tidur sekejap kemas, sekejap lagi berselerak. Di celah-celah sofa macam-macam benda boleh jumpa. Ada pensel kontot. Ada sudu dan garpu. Ada pembungkus jajan. Ada plastik aiskrim 20 sen. Anggota badan robot mainan pun ada. Malah kalau nak cari alat kawalan jauh TV yang entah ke mana hilangnya, tempat favourite yang saya gagau dulu adalah di celah sofa. Insya-Allah jumpa.
Sejuk mata ibu memandang…                                                                                              
Sesekali apabila kena tarbiah macam ni, okey sekejap anak-anak ni. Ibunya pun bangga tengok anak terunanya rajin mengemas katil tanpa disuruh, membuang sampah di tempat yang sepatutnya, memadamkan lampu dan berjimat cermat menggunakan elektrik dan  air. Anak daranya pula tahu apa nak dibuat di dapur tanpa arahan formal. Si kecil dua, tiga orang tak perlu dileteri lagi, pandai mencuci kasut sekolah setiap hujung miggu. Bilik air pun selalu berkilat lagi harum baunya bagaikan bilik air di hentian rehat dan rawat (R&R) di lebuh raya.
Sejuk mata ibu dan ayah memandang suasana begitu. Sayangnya, apabila sudah lama tak ditarbiah, semangat tu perlahan-lahan luntur dan pudar kembali. Sekali lagi saya panggil mereka untuk kuliah maghrib fasa dua (dan pasti ada fasa seterusnya). 
Tekankan lagi perihal pentingnya kita memiliki mentaliti mesyarakat Islam yang bersih dan tersusun dalam semua bidang kehidupan. Rasulullah sudah menunjukkan kepada kita betapa Islam mampu mengubah tamadun Arab yag rosak kepada peribadi-peribadi yang hebat mental dan spiritual dalam waktu tidak sampai 20 tahun.
Begitulah anak-anak, kena selalu ditarbiah. Bagaimanapun ada satu cara supaya anak-anak tu rajin mengemas rumah dan mencuci bilik air dengan segera tanpa perlu kuliah atau tarbiah. Begitu saja pak cik, mak cik serta sepupu mereka nak datang berziarah petang ni… insya-Allah awal-awal lagi rumah saya kemas dan teratur mereka kerjakan. Alangkah baiknya kalau pak cik dan mak cik mereka datang setiap hari.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih membaca blog ini.

Menghargai anda sehingga bila-bila...

Jangan lupa jadi kawan saya di blog ini dan facebook.