Khamis, September 20, 2012

Cerita Hantu Tak Ada Faedah

Takut, tapi nak tengok jugak!                                                                                               
Kadang-kadang hairan juga tengok anak-anak terjerit-jerit dan terlompat-lompat ketakutan apabila disergah oleh hantu, pocong dan pontianak di kaca TV. Baik filem seram versi tempatan atau yang diimport, impaknya tetap sama- takut nak tengok tapi tetap juga nak tengok. 
Maka ada anak-anak yang menyorok di belakang emaknya, menyelinap di balik sofa, mengintai dari daun pintu atau duduk jauh-jauh di belakang tatkala menonton cerita seram. Sekurang-kurangnya kalau hantu tu menyergah, orang yang di depan terkejut dulu. Yang menyorok di belakang terselamat.
Jadi, end of the story, hubungan kekeluargaan anak-beranak menjadi lebih akrab dan erat selepas tonton filem hantu. Apa tidaknya, nak masuk bilik air kena berteman, nak ke dapur pun berteman. Hatta nak masuk tidur pun kena berteman. Itu pun kalau teman tu pun sama-sama mengantuk dan nak masuk tidur.

Melopong depan TV                                                                                                            
“Sudah tahu takut siapa suruh tengok cerita hantu!” saya menyampaikan sedikit kata-kata hikmat penuh sindiran untuk mereka.
Anak-anak diam tanda akur. Namun esok lusa, muka tu lagi yang menghadap cerita seram di TV. Huh, menyampah betul!
“Best ceritanya, ayah” jawab mereka tatkala melihat saya bercekak pinggang depan mereka: “Filem tahyul ni kamu sudah ulang tengok tiga atau empat kali di TV. Tak Bosan?” Hairan sungguh saya dengan perangai anak-anak ni.
Akhirnya saya kena akur dan terima hakikat yang saya tidak boleh memaksa anak-anak dara dan bakal anak teruna di rumah tu menjadi ‘jantan gentleman’ macam saya dan menolak total  filem seram tahyul bodoh lagi dungu itu . Dan mereka juga tidak mudah untuk mengajak saya melopong dan membulatkan mata depan TV dengan filem-filem seperti itu.
Satu hal yang sering buat saya malas menghadap cerita-cerita seram ni, kerana ia sering dipaparkan secara murahan dan menyimpang daripada nilai-nilai moral dan kebenaran. Asyik-asyik kisah hantu betina merayau-rayau mahu membalas dendam atas jantan durjana yang merosakkan dan membunuhnya. Asyik-asyik hantu yang diupah oleh orang tertentu untuk merosakkan rumah tangga orang lain kerana dengki dan dendam kesumat. Asyik-asyik kisah hantu yang memberi pelbagai signal kepada hero atau heroin supaya membongkar misteri pembunuhan dan entah apa-apa lagilah.

Ini baru betul-betul hantu
Mana real ghost story?
Tidak pernah seumur hidup saya menonton filem hantu dalam bentuk kisah benar. Mengapa tidak pernah ada filem hantu yang menceritakan kerja-kerja hantu yang sebenar? Contohnya menghasut manusia supaya sentiasa berbuat jahat, menakut-nakutkan dan membimbangkan manusia dengan soal rezeki, menyesatkan manusia daripada jalan kebenaran, menimbulkan permusuhan sesama manusia, melalaikan dan menghalang manusia daripada mengingati Allah, menipu dan mengelirukan manusia dalam urusan agama dam macam-macam lagi.
Itu adalah sebahagian daripada tugas-tugas syaitan dan hantu, belum lagi kisah pintu-pintu masuk syaitan ke dalam diri kita, bermacam-macam gaya tipuan syaitan dan 1001 perihal alam syaitan yang perlu kita tahu. Kalau setakat filem hantu cekik orang lalu mati dan si mati menjadi hantu, kita sebagai penonton tidak dapat mengambil apa-apa faedah pun. Syaitan pun bersorak bangga kerana kejahatan sebenar mereka masih gagal kita  bongkar dan dedah!.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih membaca blog ini.

Menghargai anda sehingga bila-bila...

Jangan lupa jadi kawan saya di blog ini dan facebook.