Selasa, September 11, 2012

Pimpinlah Suami

Kemana arah qiblat?
Saya dan beberapa orang jemaah surau pernah dijemput oleh seorang muslimah ke rumahnya. Hajatnya mahu membuat majlis doa selamat dan bacaan Yasin untuk anaknya yang akan menduduki peperiksaan UPSR. Kami pergi menaiki tiga buah kereta.
Apabila sampai di rumahya, kami terus bertahlil dan membaca Yasin. Sesudah selesai, kami pun bersedia untuk menunaikan solat Isyak. Saya tolong bentangkan sejadah mengikut arah kiblat yang ditunjukkan oleh muslimah itu.
Tiba-tiba suaminya yang entah dari mana datangnya (mungkin baru balik kerja) menegur saya, mengatakan arah kiblat tersebut tidak betul. Dia menunjukkan arah yang dikatanya betul, iaitu arah yang jauh berbeza daripada arah yang ditunjukkan oleh isterinya tadi.
Tergamam kami seketika. Isterinya yang tadi gembira dan ceria terus membisu. Mungkin malu dengan teguran suaminya (yang tidak tahu malu).
Apa moralnya? Moralnya, kalau arah kiblat pun berbeza antara suami dan isteri, bererti si suami memang tidak pernah jadi imam solat kepada isterinya, ataupun tidak pernah mendirikan solat berjemaah seisi keluarga. Lebih parah lagi, entah-entah suaminya memang tidak pernah solat!
 Isteri jaga aurat, suami tayang pusat… .
Kalau beginilah keadaannya, bagaimana isteri hendak hormat pada suami lantaran sikap suami yang tidak serius dan cuai dalam bab agama? Isteri bersungguh-sungguh menjaga solat, suami pula tidak sungguh-sungguh bersolat. Isteri menjaga dan memelihara aurat, suami pula asyik tayang paha dan pusat. Isteri rajin mengaji dan khatam al-Quran, suami pula jangankan mengaji, baca iqrak pun tidak lepas. Isteri tidak pernah tinggal mengikuti kelas fardu ain di masjid dan surau, suami pula jangankan jejak tangga surau, fardu ain pun dia tidak tahu apa bendanya.
Eh, tidak faham betul dengan sikap suami begini! Agak-agaknya, apa perasaan isteri atau anak-anak apabila si suami atau si ayah asyik kata “entah” atau “tak tahu” setiap kali diajukan soalan-soalan mudah tentang agama?


“Kalau kita makan nasi, wuduk kita batal tak ayah?”
“Entahlah.”
“Kalau kita pakai telekung warna merah, sah atau tidak solat kita, ayah?”
“Tak tahu.”
“Kalau kita baca al-Quran sewaktu haid bolehkah, bang?”
“Entah.”
Apa-apa hal, bersyukurlah!
Kepada para muslimah, andainya cerita di atas berlaku dalam keluarga kita, bersyukurlah kerana kita masih diberi kekuatan dan hidayah oleh Allah untk terus sujud menyembah-Nya. Kita masih mampu memelihara aurat, diberi masa dan kesempatan untuk mengaji dan menuntut ilmu fardu ain di surau, masjid atau rumah. Namun, jangan sekali-kali kita hilang hormat kepada suami yang enggan berbuat demikian.
Hormat tetap kena hormat. Dalam waktu yang sama kita mesti bijak dan kreatif untuk menyedarkan kesilapan dan kealpaannya. Paling penting, hidupkan roh dan suasana Islam dalam rumah tangga. Ajak anak-anak solat berjemaah dan hidupkan amalan Islam bersama-sama. Buku-buku agama dan majalah-majalah yang bermanfaat seperti ANIS mungkin boleh diletakkan di ruang tamu dan blik tidur. Walaupun dia tidak suka membaca, sesekali pasti dibeleknya juga.

Majalah untuk terapi hati

 Selamatkan dia…. Perkara paling penting jangan jatuhkan maruah suami dan jangan lakukan sesuatu perkara dengan niat menyindirnya. Ajarilah anak-anak supaya beradap sopan kepada ayahnya walaupun si ayah seringkali biadab kepada Allah.
Akhir sekali,seboleh mungkin bangunlah pada satu pertiga akhir malam untuk bersolat dan berdoalah banyak-banyak supaya Allah beri hidayah dan taufik kepada suami kita. Kala kita betul-betul sayangkan dia dunia dan akhirat, wajarlah kita membantunya. Selamatkanlah dia, kerana azab yang menantinya di sana (jika dia terus lalai dan cuai dengan perintah Allah) sangatlah keras!

4 ulasan:

  1. Maaf bertanya, mana tau yang suaminya silap? Kenapa ade ayat "entah-entah suaminya memang tidak pernah solat!"? Kan dah buruk sangka tu?? Kenapa ade prejudice?

    Andaikata Isterinya yang silap arah kiblat macamana? Andai kata isterinya yang jarang solat dan tak tau arah kiblat macamana? Jika ini betul, penulis blog tak takut ke tanggung dosa setiap orang yang membaca artikel ini?

    BalasPadam
  2. Assalamualaikum kepada Tanpa Nama,

    Ayat 'entah-entah suaminya tidak pernah solat" tidak ditujukan kepada sesiapa.

    Semoga Allah menjauhkan diri saya daripada dosa dan api neraka.

    Terima kasih.

    BalasPadam
  3. Dalam kehidupan berumahtangga, bila suami ke lorong dunia, dan isteri kelorong akhirat itulah situasi yang amat sukar untuk dihadapi. Tidak mudah melentur buluh yang telah tua. Hanya doa, kekuatan dan ketabahan yang dapat melepasinya. Ditambah pula dengan sikap lelaki yang kebanyakannya tidak gemar membaca.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Dalam tempo rumahtangga, akan ada turun dan naiknya.

      Insya-Allah dengan pengorbanan yang tidak kunjung malap akan sedar juga akhirnya.

      Saya doakan Puan Ainul Hamid sabar dan solat.

      Padam

Terima kasih membaca blog ini.

Menghargai anda sehingga bila-bila...

Jangan lupa jadi kawan saya di blog ini dan facebook.