Isnin, Disember 24, 2012

Budak-Budak Inilah Harapan Kita


Memang sungguh mencabar membesarkan enam ke tujuh orang anak mengikut acuan Allah. Pertama, kerana mereka ini manusia-ada perasaan, emosi dan sebagainya. Kedua, faktor luaran yang kuat menganggu. Ketiga, kita sebagai ibu bapa mereka ini pun bukannya ‘bagus’ sangat untuk menjalankan kewajipan ini. Jenuh jugalah belek buku-buku tentang mendidik anak-anak, dengar ceramah, kuliah dan motivasi....tetapi itu teorinya aje, hakikatnya, yang amali tunggang terbalik juga kita dibuatnya. Letaklah pelbagai rules and regulations pun, namun mereka tetap langgar.

Solat maghrib berjemaah lebih kurang jam tujuh malam. Tapi waktu itulah juga terhegeh-hegeh mereka nak masuk bilik air untuk mandi. Kekadang berebut bilik air bagai nak tercabut pintu dibuatnya. Leter dan rotan itu jangan dikiralah (walaupun kita ni bukan gemar sangat nak menggunakan kaedah ini) . Solat kalau bersendirian pun, lajunya mak oii mengalahkan pelesit. Dua tiga minit sudah selesai. Itu pun dah masuk injuiry time dan selepas empat lima kali wisel amaran dibunyikan.


Sering kali juga kita minta mereka perdengarkan bacaan-bacaan dalam solat tu. Nak tau juga apa benda yang mereka baca sebab kerap juga diperhatikan mulut mereka macam tak berkumit pun sewaktu solat. Lepas tu, minta mereka terjemahkan bacaan itu dalam bahasa Melayu. Walaupun terjemahan itu sering kali lintang-pukang sehingga memeningkan pemeriksa, di situlah ruang untuk kita perbaiki mutu terjemahan mereka. Sekurang-kurangnya mereka tahu soal solat ni bukan soal main-main dan boleh diambil mudah.

Selepas solat Mahgrib, biasanya kita ambil 10-15 minit untuk beri tazkirah....ingatkan budak-budak ni tentang Allah dan Rasul, adab-adab pergaulan, adab dengan orang tua, kisah iktibar dan sebagainya. Tapi, sebaik selesai tazkirah, ilmu yang kita ajar disimpan dan poket. Masuk telinga kanan keluar telinga kiri. Sebaliknya, ilmu yang tidak elok yang diajar oleh kawan-kawan pula yang dibangga dan dipraktikkan.

Harapan kita

Hai, gitulah kuatnya pengaruh kawan-kawan. Itu belum lagi ilmu yang datang dari media seperti Internet,TV dan majalah. Semuanya itu indah dan advance belaka. Jika tidak apply ilmu itu, terasa macam tak cukup syarat nak jadi budak remajal Jenuhlah kita sebagai mak ayah ni nak twist dan cuci semula kepala dan otak mereka yang dah tercemar ni. Maka kita yang mak ayah ni, mahu tak mahu kena belajar jugalah ilmu twist dan mencuci ni.... maklumlah mentwist dan mencuci benda yang tak nampak! Dah tu pulak benda tu bukannya sekali cuci dah tanggal. Kena berkali-kali, dan silap gaya kita pun ikut sama tertwist.

Kekadang terasa juga letihnya kerja ni, (kena buat 24 jam, tujuh hari seminggu), tapi apabila membayangkan bahawa ini adalah amanah Allah, kena buat jugalah.

Apatah lagi merekalah harapan kita untuk mendapat sahama berterusan apabila kita sudah tiada nanti. Rugilah, kalau mereka kita abaikan. Memanglah usaha untuk menghamba-Allahkan mereka ini kadang-kadang bercampur antara ikhlas, malas, culas dan pelbagai ‘las’ lagi. Apa pun diharapkan usaha tampa henti ini Allah ambil kira jugalah.......Amin!

Belikan untuk anak-anak anda



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih membaca blog ini.

Menghargai anda sehingga bila-bila...

Jangan lupa jadi kawan saya di blog ini dan facebook.