Selasa, September 25, 2012

Hebatnya Taat kepada Ibu

Dukung ibu yang uzur                                                                                                           
Pernah dengar nama Uwais al-Qarni? Dia adalah sebaik-baik tabiin, penghulu para abid dan seorang wali yang zuhud dan tinggal jauh di Yaman. Pesan Rasulullah SAW kepada Sayidina Umar dan Sayidina Ali, “Sekiranya kamu berkesempatan bertemu Uwais, mintalah dia mohonkan keampunan untukmu!”
Beberapa tahun berlalu dan sewaktu Sayidina Umar menjadi Khalifah, dia sering bertanya-tanya kepada jemaah haji dari Yaman jikalau Uwais ada ikut bersama. Orang ramai tidak tahu yang bertanya itu adalah Khalifah Umar al-Khattab.
Pada suatu musim haji, Umar berkesempatan bertemu Uwais. Dia orang yang miskin dan buruk pakaiannya. Selepas memastikan orang di depannya benar-benar Uwais seperti digambarkan Rasulullah SAW, Umar lantas memeluknya erat-erat. “Mohonlah keampunan untukku, wahai Uwais!”
“Adakah tuan meminta saya memohon keampunan untukmu, wahai Amirul Mukminin?” Tanya Uwais terkejut.
Umar berkata, “Ya.”
Apakah kehebatan Uwais sehingga namanya disebut oleh Rasulullah SAW? Hebatkah ibadahnya? Rajin bersolat malam? Tidak tinggal puasa sunat? Tinggi kecintaannya terhadap Rasulullah SAW?  Ya betul, tetapi yang lebih special Uwais hebat kerana dia sangat taat melayani ibunya. Uwais sanggup mendukung ibunya yang uzur itu ke mana sahaja dia pergi. Daripada Asbagh ibn Zaid berkata: “Sesungguhnya perkara yang menghalang Uwais dari dapat bertemu Rasulullah SAW ialah kerana khidmatnya kepada ibunya”.
Dia manusia luar biasa                                                                                                         
Seringkali selepas solat Maghrib berjemaah di rumah dan selepas berdoa (saya sering berdoa dalam bahasa Melayu supaya anak-anak tahu apa yang saya doakan), saya akan bacakan sedikit takzkirah. Perihal syurga dan neraka, perihal anak cemerlang, godaan syaitan, adab-adab, kisah-kisah para sahabat dan apa saja termasuk mentaati ibu bapa.
Biasanya, ibu mereka akan beredar ke dapur apabila saya buat tazkirah bab mentaati ibu bapa. Mungkin dia malu nak dengar pujian dan penghormatan tinggi yang wajib diberi oleh anak-anak kepada ibu bapa. Biarlah. Dia tidak mahu dengar tidak apa (atau mungkin dia menelinga dari dapur). Namun anak-anak saya yang berbagai ragam dan songeh itu wajib disedarkan dan difahamkan, bahawa wanita yang memasakkan makanan untuk mereka, wanita yang mencuci pakaian mereka, wanita yang melahir dan membesarkan mereka, wanita yang mengasuh dan mendidik mereka itu bukan wanita biasa. Dia wanita luar biasa. Rasulullah kata, syurga anak-anak di bawah tapak kaki ibu. Redha Allah di atas redha ibu bapa. Murka Allah di atas murka ibu bapa.
Jom tukar teknik!                                                                                                                         
Saya pernah menghadiri program motivasi jati diri remaja yang dibuat oleh sekolah tempat anak saya belajar. Semasa di dalam dewan, ibu bapa disuruh menunggu anak-anak yang sedang diberi kuliah motivasi di tempat yang berasingan. Tidak lama kemudian mereka pun masuk ke dalam dewan dalam keadaan isak tangis dan air mata berderai-derai. 
Saya sedih kerana disuruh untuk sedih
Tahulah saya emosi dan fitrah mereka terhadap kasih ibu dan ayah telah di sentuh dan disedarkan semasa kuliah motivasi itu. Masing-masing menerpa ibu ayah sambil meluahkan dosa dan kesalahan mereka, minta diampunkan. Mengapa anak-anak ini mudah sangat tersentuh hingga berderai-derai air mata apabila fitrah mereka disedarkan?
Hmm … agak-agaknya kalau teknik ini kita lakukan di rumah, macam mana ya? Bolehkah anak-anak kita menangis sampai merah mata?
Kepada para ibu bapa, mari kita cuba teknik ini di rumah pula. Kita tukar teknik mendekati anak-anak ini. Teknik lama seperti membebel, merungut dan menyinga yang sudah tidak releven itu kita tolak jauh-jauh. Selamat mencuba!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih membaca blog ini.

Menghargai anda sehingga bila-bila...

Jangan lupa jadi kawan saya di blog ini dan facebook.