Rabu, Oktober 03, 2012

Lengkapkan Amal Sebelum ke Sana


Hutang bayar dulu Aji!                                                                                                  
Sebelum menjejakkan kaki ke Mekah untuk menunaikan ibadah Haji, biasanya bakal haji dan hajah akan giat berkursus di sana sini, menghafal doa itu dan ini, membaca buku dan menonton DVD mendalami ilmu haji, memastikan segala hal yang bersangkutan dengan orang lain seperti dosa, salah dan  silap, terambil dan terpinjam, termakan dan terminum juga hutang piutang dilunaskan terlebih dahulu. Yalah, hendak pergi tunaikan ibadah haji bukan seperti hendak pergi melancong ke Paris atau London. Semua perkara mesti diselesaikan terlebih dahulu supaya terasa ringan bebanan lahir dan batin sebelum bertolak ke Mekah.
Hendak pergi menunaikan haji ni macam hendak pulang ke rahmatullah. Serah diri bulat-bulat kepada Allah. Tinggalkan harta, tinggalkan sanak-saudara, tinggalkan kerabat dan jiran tetangga ,  buat majlis tahlil dan doa selamat, berpeluk dan beresak tangis sebelum pergi seolah-olah pergi ni tak akan kembali lagi. Ditakdirkan betul-betul kita kena ‘menetap’ terus di sana, sekurang-kurangnya kita sudah bersedia.

Klik untuk dapatkan teknik dan kaedah menunaikan fardu haji..

Untungnya jemaah kita...                                                                                          
Umumnya, jemaah haji dari negara kita mungkin antara yang paling beruntung berbanding jemaah haji negara lain. Apa tidaknya. Hampir segala keperluan asas sebelum pergi ke sana dan semasa berada di sana diuruskan sepenuhnya oleh organisasi yang dilantik. Sediakan wang secukupnya, dan  semua hal akan mereka uruskan. Semuanya itu bagi memberi keselesaan kepada kita menunaikan rukun Islam yang kelima ini.
Sabarlah sikit Aji.....                                                                                                
Bagaimanapun apabila tiba di sana, kita tidak dapat lari dari 1001 macam masalah yang sengaja didatangkan oleh Allah bagi menguji kesabaran kita. Tidak kiralah pakej apa yang kita ambil, ujian dan dugaan asyik mengekori kita.
Semua orang diuji. Lain orang, lain tahap imannya, lain tahap sabarnya, jadi lainlah tahap ujian yang ditempuhinya. Semua itu menuntut kita bersabar. Ertinya Allah masih sayang pada kita.
Semasa diuji, ingatlah nikmat yang banyak yang Allah beri semasa berada di sana. Disaat jemaah lain bersesak-sesak tidur dan makan dalam keadaaan yang tidak selesa dan tidak tentu jadual, beersesak-sesak dalam debu panas dan mungkin hujan, kita ada pakej yang menyediakan penginapan selesa dan waktu makan yang berjadual. Di saat jemaah lain bersesak-sesak meredah lautan manusia menunaikan rukun haji tanpa ada panduan yang sempurna, kita bersyukur kerana mendapat penerangan yang jelas tentang waktu yang sesuai untuk menunaikan ibadah tersebut. Semua itu demi keselesaan dan keselamatan kita disana.
Sesungguhnya kita ini Hamba                                                                                          
Kalau layanan yang diterima agak kurang memuaskan atau rasa tidak selesa, sabarlah sedikit. Ingatlah, ramai jemaah lain yang tidak mendapat keselesaan berhaji macam kita. Masih ramai jemaah haji yang tidak bernasib baik seperti kita. Pendek kata, walau sebesar mana pangkat dan kedudukan kita disisi manusia, semewah mana  pakej haji yang kita ambil dan sebagus mana pun layanan yang diberikan semasa melakukan haji, ingatlah sungguh-sungguh kita ini adalah  hamba!. Ya, hamba kerdil yang ingin bertamu ke hadrat Allah. Bawalah dan kekalkan sentiasa jiwa hamba ini tatkala bertamu ke rumah-Nya. Mudah-mudahan dengan menjiwai pengertian haji dengan sebenar-benarnya, jiwa hamba dapat mendarah daging dalam diri kita apabila kita pulang kelak. Amin.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih membaca blog ini.

Menghargai anda sehingga bila-bila...

Jangan lupa jadi kawan saya di blog ini dan facebook.