Jumaat, Oktober 12, 2012

Malangnya Ramadan Kita


Tada malu punya worang!                                                                                                
Bulan Ramadan adalah bulan yang penuh keistimewaan dan barakah. Bagi sesetengah orang, dia tidak ambil peduli dengan kedatangan Ramadan. Ramadan datang atau tidak, dia tidak ambil kisah. Pusingan hidup sehariannya tidak terpengaruh atau dipengaruhi oleh Ramadan. Kalau lapar, dia makan walaupun orang lain sedang giat menahan lapar. Kalau kenyang dia relaks, walaupun di saat orang lain sedang menikmati juadah berbuka puasa. Namun waktu orang lain bergembira menyambut Syawal, dia pun tumpang sekaki juga. Isy … tidak mahu betul!

Bagi sesetengah kaum Hawa terutama anak-anak dara, Ramadan maknanya deadline untuk qadak semua puasa yang tersangkut pada tahun yang lepas. Kalau tidak qadak alamat kena denda. Huh, berpeluh jugalah mereka nak qadak hari-hari yang tertinggal dulu. ( Suka sangat buat kerja last minute...)
Kerja sebulan makan setahun                                                                                             
Bagi kaki bisnes, bulan Ramadan adalah bulan yang sangat ditunggu-tunggu. Kononnya, sebulan memasang pukat, rezekinya boleh makan sampai setahun. Itulah namanya rezeki bulan Ramadan! Satu pertiga awal Ramadan, dia berniaga juadah untuk berbuka. Satu pertiga pertengahan Ramadan, dia  bisnes pakaian raya pula. Satu pertiga akhir Ramadan, dia  buka bisnes biskut raya pula. Fuh, memang untung giler! 
Ya, gila dibuatnya. Bagi orang awam seperti saya, Ramadan tu seperti isyarat. Baju raya budak-budak sudah tempah? Langsir sudah berganti? Set sofa dan pinggan mangkuk sudah berwajah baru? Warna dinding rumah tidak mahu cuba yang odourless pula?
Aduh, sepatutnya Ramadan ini kita boleh beri sepenuh perhatian untuk tingkatkan kualiti dan kuantiti amal ibadah, rupa-rupanya masih banyak penghalang dan perintang yang harus ditebas dan ditempuh sebelum kita dapat menikmati kehadiran Ramadan ini.
Bukan Ramadan, tapi kita yang malang                                                                           
Malang sungguh Ramadan. Disebabkan cahaya Syawal yang sungguh terang-benderang, meriah lagi bergemerlapan indahnya (siapa yang menjadikannya begitu kalau bukan kita sendiri), tersirna malap wajah Ramadan.
Malang sungguh Ramadan. Disebabkan tawaran raya yang sungguh menarik- 70 peratus diskaun, beli satu percuma satu, bayaran ansuran mingguan (mingguan?) hanya RM30, tiga bulan pertama tidak perlu bayar dan 1001 tawaran hebat raya- menyebabkan offer Ramadan yang lebih istimewa kita lupa nak rebut.
Malang sungguh Ramadan ini. Amat sedikit di kalangan umat akhir zaman ini yang menyambut kedatangannya dengan permaidani merah. Pemergiannya langsung tidak ditangisi kecuali oleh dua golongan manusia. Pertama, kaki bisnes yang belum sempat membuat untung berlipat-lipat. Kedua, pengguna yang masih belum bersedia menyambut kedatangan Syawal!
Beruntunglah orang yang tidak sabar menanti kedatangan Ramadan yang penuh berkat ini, untuk diisi dengan ibadah yang bersungguh-sungguh tanpa letih dan jemu. Tawaran pahala yang berlipat kali ganda di dalamnya hanya tahu dinikmati oleh orang-orang yang mampu melihat dengan mata hati. Malangnya umat akhir zaman tidak begitu nampak tawaran ini, kerana tawaran raya lebih memikat, lebih hebat, lebih lazat dan lebih dekat. Oh, malangnya kita......

Adik-adik ini pun puasa penuh....


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih membaca blog ini.

Menghargai anda sehingga bila-bila...

Jangan lupa jadi kawan saya di blog ini dan facebook.