Khamis, September 27, 2012

Alangkah Berat Bebannya


Terkulai di sofa Zzz… .
Bayangkan, seawal jam lima pagi dia sudah bangun. Gosok pakaian, siapkan sarapan dan entah apa-apa lagi kelentung-kelentang di dapur. 
Apabila azan subuh berkumandang, dia mengejutkan suami dan anak-anak. Selepas solat, dia sudah bersedia pergi ke tempat kerja. Lewat petang atau mungkin awal malam dia muncul kembali. 
Wajahnya nampak letih. Letih dengan kerja-kerja di pejabat dan letih mengharungi kesesakan jalan raya barangkali. Rehat? Belum boleh rehat. Ada banyak lagi kerja-kerja rumah yang seolah-olah seharian merindui kepulangannya dari pejabat. 
Ya, siang ikan, potong sayur, memasak, menghidang, membasuh pinggan, mengemas, mengelap, menyapu, membasuh baju, menyidai baju, mengangkat baju, melipat baju, menggosok, menyusun, mengemas katil, menukar cadar, mencuci tandas, mop lantai, menyiram bunga, melihatkan kerja sekolah anak-anak, dan seribu satu lagi urusan rumah yang mesti diselesaikan. (fuh! berpeluh saya nak menaip senarai panjang kerja-kerja rumah yang mesti diselesaikan oleh kaum ibu…)

Seringkali dia terkulai di sofa, ditewaskan oleh keletihan dan mengantuk. Tertidur dua hingga tiga jam. Namun, apabila tersedar dia bingkas menyambung perjuangan yang belum selesai. Ya, perjuangan yang tidak boleh ditangguh esok atau lusa. Kalau setakat sakit pening dan demam-deman ringan tu, dia buat tak tahu saja. Terus kerja. Tak ada yang nak bersimpati dengan demam pening sikit-sikitnya tu.
Buat sama-sama
Sama-sama bercinta, sama-sama kumpul duit, sama-sama bertunang, sama-sama buat persiapan kahwin, sama-sama kahwin. Sama-sama mengunjungi mentua dan ipar-duai, sama-sama pakat beli rumah dan kereta, sama-sama melahirkan anak (eh?), sama-sama membesarkan anak, sama-sama naik kereta keluar rumah mencari sesuap rezeki untuk kehidupan yang lebih sempurna, sama-sama pulang keletihan dari tempat kerja, wang gaji dibahagi sama supaya lebih cepat kumpul harta. Pendek kata, hampir semua perkara ditanggung bersama.
Sampai saja di rumah, agenda sama-sama tadi sudah tidak diguna pakai lagi. Kerja-kerja rumah tangga yang remeh-temeh (pada anggapan orang lelaki) tidak lagi diharungi bersama. Jangankan mencuci pinggan, malah pinggannya sendiri pun si suami tak mampu nak angkat ke dapur selepas menikmati makan malam bersama!
Tukar lampin anak? No problem!
Di mana silapnya? Mungkin agaknya sudah begitu budaya orang kita meletakkan taraf suami terlalu tinggi sehingga suami jadi manja dan langsung tidak tahu nak sama-sama jadi hamba apabila berada di rumah.
Eh, tuan-tuan fikir isteri tu tak penat? Atau tuan-tuan ingat isteri tu robot, tak tau istilah letih atau penat? Sampai tuan-tuan boleh rehat depan TV sepanjang hari atau melepak di restoran mamak bersama kawan-kawan sambil membiarkan isteri bertungkus-lumus menyelesaikan semua urusan dan tugasan dapur sendirian?
Isteri: Semua pinggan ini abang kena basuh......
Suami: Cukupkan seminggu lagi la yang..........


Kalau begitu gambaran kita terhadap isteri, eloklah kita semak semula. Tidak kiralah isteri kita tu wanita bekerjaya atau suri rumah sepenuh masa, penatnya tetap sama. 
Belajarlah untuk ringankan tulang empat kerat kita untuk sama-sama membantu kerja-kerja rumah isteri tu. Banyak yang boleh kita tolong jika kita betul-betul niat nak tolong. Buang sampah boleh, cuci bilik air boleh, ampai pakaian di jemuran boleh, cuci pinggan mangkuk boleh, lipat baju boleh, kemas bilik boleh dan maca-macam lagilah. 
Takkan luntur sifat kejantanan kita jika kita ringan tangan tolong isteri tu malah kita akan dipandang lebih mulia dimata isteri. Lagi pun buat apa kita nak pertahankan sangat ego kita tu?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih membaca blog ini.

Menghargai anda sehingga bila-bila...

Jangan lupa jadi kawan saya di blog ini dan facebook.